Pengaruh Teknologi Maklumat Ke Atas Kehidupan Di Bandar
oleh
Ho Lip Wah
Pengenalan
Teknologi maklumat boleh ditakrifkan sebagai sebarang kaedah yang digunakan untuk memindah, menyebar dan memapar maklumat. Maklumat tersebut boleh wujud dalam pelbagai bentuk samada bentuk fizikal contohnya kertas dan buku, bentuk suara, paparan visual, pergerakan atau dalam bit. Perkembangan teknologi maklumat telah mencapai suatu tahap di mana ia mula menampakkan pengaruh tertentu di dalam kehidupan manusia terutamanya penduduk bandar. Pada asalnya, teknologi ini wujud sebagai satu perantaraan untuk mengedarkan pelbagai jenis maklumat untuk tujuan yang berlainan. Contohnya bagi pengiklanan, pemberitahuan, telekomunikasi dan sebagainya.
Peranannya sebagai agen perubahan tidak pernah berkurang tetapi semakin bertambah lebih-lebih lagi dengan kewujudan komputer. Dewasa ini, ia telah berevolusi kepada bentuk yang menampakkan pengaruh yang lebih mendalam ke atas kehidupan manusia. Contohnya penggunaan rangkaian ‘internet’ telah dan berupaya menyebabkan perubahan yang besar ke atas aspek fizikal, ekonomi dan sosial melalui globalisasi serta berkembangnya modal antarabangsa kapitalis. Teknologi maklumat akan membezakan sebuah negara maju dengan sebuah negara sedang membangun(Arun, 1999).
Aspek fizikal yang dimaksudkan di atas termasuklah corak penggunaan ruang bandar, rangkaian lalulintas dan pengangkutan, ruang ‘virtual’ dan sebagainya. Di samping itu, aspek sosial pula meliputi cara dan corak berinteraksi, pergerakan manusia, aktiviti manusia, cara hidup manusia, kualiti hidup manusia, taraf kesihatan manusia dan lain-lain. Selain itu, rangkaian ‘internet’ juga membolehkan pelbagai urusan perniagaan dijalankan secara ‘digital’ dan ini mempunyai implikasi yang besar terhadap proses pembandaran pada masa akan datang.
Salah satu kesan yang ketara adalah pergantungan kepada bekalan elektrik. Ini adalah kerana tanpanya segala peralatan teknologi maklumat tidak dapat berfungsi, kecuali jenis yang menggunakan tenaga alternatif misalnya tenaga solar, angin, ombak, biojisim dan sebagainya. Namun pergantungan yang lebih membimbangkan adalah dari segi kuasa ekonomi melalui pemindahan modal antarabangsa dalam jumlah yang besar. Ini seterusnya akan mempengaruhi corak gunatanah sesebuah bandar.
Gunatanah kawasan bandar dipercayai akan mengalami perubahan yang ketara. Misalnya lebih banyak kawasan hijau dapat dikekalkan atau dibekalkan berbanding dengan tempat letak kereta. Maknanya isipadu perjalanan boleh digantikan dengan aliran elektrik atau cahaya. Ini dapat mengurangkan tahap pencemaran bandar. Namun begitu, secara sosial manusia masih perlu menjalankan aktiviti tertentu yang tidak mungkin dapat digantikan oleh teknologi maklumat misalnya makan, rehat, berekreasi, bersukan dan sebagainya. Perubahannya cumalah dari segi cara aktiviti tersebut dijalankan dan apakah batasan serta halangan yang wujud akibat gelombang maklumat yang mempengaruhinya.
Justeru itu, memandangkan terdapat pelbagai perubahan besar yang akan berlaku hasil perkembangan teknologi maklumat maka kertas kerja ini akan cuba membincangkan perubahan semasa serta isu utama yang berkaitan dengannya.
Rangka Kerja Teoritikal
Teori Klasik Lepas-Industri(Classical Theory Of Postindustrialism)
Teori ini mengabungkan tiga pernyataan :
Sumber produktiviti dan pertumbuhan bergantung kepada pengwujudan pengetahuan yang dilanjutkan kepada aktiviti ekonomi melalui pemprosesan maklumat.
Aktiviti ekonomi akan berganjak daripada pengeluaran barangan kepada pembekalan perkhidmatan. Pelumpuhan pekerjaan pertanian akan diikuti oleh pengurangan dalam pekerjaan pembuatan dan ini akan menjadikan pekerjaan perkhidmatan lebih penting. Lebih maju sesebuah ekonomi, lebih banyak pekerjaan dan pengeluarannya akan menumpu kepada perkhidmatan.
Ekonomi baru akan meningkatkan kepentingan pekerjaan yang melibatkan pengetahuan dan maklumat yang tinggi. Bidang pengurusan, profesional dan pekerjaan teknikal akan bertumbuh dengan lebih cepat berbanding dengan pekerjaan lain dan ia akan menjadi pekerjaan utama dalam struktur sosial yang baru.
Teori ini menumpukan perbezaan di antara dua bentuk industri berasaskan pengetahuan, pertanian dan pengeluaran perkhidmatan. Isunya, masyarakat akan berpengetahuan, bukan kerana mereka sesuai dalam satu model struktur masyarakat, tetapi kerana mereka menyusun sistem pengeluaran mereka berpandukan prinsip memaksimakan pengeluaran berasaskan pengetahuan, melalui pembangunan dan penggunaan teknologi maklumat.
Selain itu, teori ini juga mengutarakan anjakan kepada industri perkhidmatan dan pengurangan dalam pembuatan. Namun ini dikritik sebagai andaian yang terlalu ringkas tanpa melihat hubungan di antara pembuatan dan perkhidmatan. Justeru itu, ia mencadangkan industri perkhidmatan wujud dalam ekonomi yang berlainan dan sukar difahami. Seterusnya, teori ini juga menyentuh pengembangan pekerjaan yang berkait dengan pengetahuan contohnya pengurusan, profesional dan pekerjaan teknikal.
Ini seterusnya membawa kepada perbincangan bahawa, sejajar dengan pengembangan pekerjaan tersebut, pekerjaan berkemahiran rendah juga akan wujud. Dalam lain perkataan, masyarakat maklumat(information society) yang maju boleh mempunyai ciri-ciri pengasingan struktur sosial yang semakin meningkat. (Castells, 1996).
Teori Sosial Reruang dan Teori Pergerakan Ruang(Social Theory Of Space and Theory Of Space Flow)
Ruang merupakan luahan masyarakat. Memandangkan masyarakat sedang mengalami perubahan struktur, bentuk dan proses reruang baru akan muncul. Ruang bukanlah cerminan masyarakat tetapi luahan masyarakat. Justeru itu, ruang tersebut merupakan masyarakat. Menurut teori sosial, ruang adalah bahan sokongan tindakan sosial yang berdimensikan masa, membawa simbol tertentu.
Masyarakat terbentuk melalui aliran modal, aliran maklumat, aliran teknologi, aliran interaksi organisasi, aliran imej, suara dan simbol. Aliran tersebut bukan hanyalah salah satu elemen organisasi sosial, ia adalah luahan proses dominasi ekonomi, politik dan simbolik hidup kita. Justeru itu, wujudlah satu bentuk reruang baru yang membawa ciri-ciri tindakan sosial, yang akan menentukan masyarakat rangkaian maklumat. Reruang yang dimaksudkan adalah ruang aliran(Castells, 1996).
Pengaruh Teknologi Maklumat
Pengangkutan
Pengangkutan Jalan
Bayangkan anda sedang duduk di dalam kenderaan yang berhalaju 120 batu sejam di atas lebuhraya yang padat. Anda menghadapi masalah jerebu namun pengendali kenderaan di lorong sebelah telah tertidur sedangkan anda sedang menonton televisyen. Pelik? Terkejut? Sebenarnya anda agak selamat, anda sedang memandu kenderaan bistari dalam Lebuh-Raya Bersistem Automasi(LBA) masa depan yang berupaya mengurangkan 1.2 juta pelanggaran setiap tahun, menyelamatkan beribu-ribu nyawa, serta menjimatkan berjuta-juta ringgit akibat kemalangan.
Namun isu timbul merujuk kepada penerimaan masyarakat terhadap sistem sebegini. Sediakah mereka melepaskan pemanduan kenderaan secara bebas dan serahkan tugas tersebut kepada komputer. Seperti yang diketahui umum, komputer kadangkala gagal, kegagalannya dalam sistem ini akan mencetuskan kemalangan yang boleh dimasukkan dalam rekod antarabangsa.
Walaubagaimanapun, bukan senang untuk mewujudkan lebuh-raya bersistem automasi tersebut, Amerika Syarikat telah memulakan penyelidikan dan pembangunan sejak 1991 dan ia masih dalam proses. Untuk menyokong lebuh-raya tersebut, pelbagai teknologi diperlukan untuk memandu kenderaan dan mengawal sistem lalulintas; Sistem Pengangkutan Pintar, sesetengah teknologi ini telah dipasarkan dewasa ini.
Selain itu, Kenderaan Pintar diperlukan untuk membantu pengendali dalam pengendalian kenderaan, persekitaran dan memberi amaran terhadap masalah kesesakan. Salah satu elemen kenderaan pintar adalah Anti Lock Braking System(ABS) yang menghalang tayar kenderaan mengunci dirinya dalam keadaan perhentian panik.
Di samping itu, salah satu elemen penting untuk mewujudkan LBA adalah Sistem Kedudukan Global. Dengan wujudnya sistem ini, peta tidak lagi diperlukan, sistem ini akan menentukan jalan yang paling pendek serta cepat dan memandu kenderaan anda ke destinasi yang telah ditentukan anda. Dewasa ini, Sistem Pemanduan Kenderaan telah mula dipasarkan di Amerika Syarikat.
Untuk melengkapkan lagi LBA, Sistem Pengurusan Kesesakan diperlukan untuk mengenalpasti kesesakan. Antara tahun 1985 dan 1994, bandar Lexington, Kentucky telah menggunakan sistem lalulintas berkomputer untuk mengurangkan lalulintas henti-jalan sebanyak 40% serta mengurangkan pelanggaran sebanyak 30%(Meyer, 1999).
Namun LBA dikritik akan memburukkan lagi masalah kesesakan dalam jangka panjang. LBA direkabentuk untuk mengurangkan kesesakan dengan cara mengerakkan kenderaan secara lebih padat. Dengan itu, ia seakan-akan menambahkan lorong dalam lebuh-raya. Namun penambahan ini hanya boleh menyelesaikan masalah kesesakan dalam jangka pendek. Secara logiknya, apabila lorong menjadi banyak, ia akan menggalakkan lebih banyak penggunaan kenderaan. Sekiranya LBA membawa kepada pengembagan keupayaan menampung kenderaan yang tinggi maka kita akan kembali kepada masalah asal kesesakan.
Pengangkutan Udara
Sekiranya lalulintas udara terus meningkat pada kadar dewasa ini, pada tahun 2010, ia akan sampai kebarangkalian satu kemalangan utama setiap minggu. Dalam kes ini, teknologi maklumat terutamanya komputer memainkan peranan yang penting untuk memastikan keselamatan yang lebih, berkait dengan rekabentuk, juruterbang, sistem pemanduan dan lalulintas udara(Meyer, 1999)
Pengangkutan Laut
Dengan wujudnya Emergency Position Indicating Radio Beacons(EPIRB), pelayar-pelayar dengan mudah boleh menghantar isyarat kecemasan sekiranya timbul sebarang masalah. Kedudukan pelayar tersebut akan ditentukan melalui Sistem Kedudukan Global dan bantuan akan dihantar secepat mungkin. Namun masalah komputer seperti Y2K boleh memberi pengaruh negatif terhadap sistem tersebut. Kecacatan ataupun dilemma komputer tersebut boleh mencacatkan sistem kedudukan global dan menyebabkan kapal-kapal menghadapi masalah penentuan lokasi(Star, 21-8-1999).
Pendidikan
Penggunaan Komputer Dalam Pengajaran
Komputer boleh direkabentuk supaya ia dapat membantu pelajar secara individu dan secara berkumpulan. Ini dapat dijalankan dengan menggunakan Arahan Program, pelajar akan diajar mengikut kadar dan tahap yang boleh diterima oleh mereka. Ini adalah penting supaya pelajar tidak tercicir dan putus asa. Merujuk kepada sistem pendidikan konvensional, kesemua pelajar terpaksa mengikuti sistem yang berlangsung tanpa mengambil kira samada mereka dapat mengikuti pelajaran tersebut. Justeru itu, arahan program dapat memberi peluang terutamanya kepada golongan pelajar "lemah" untuk membaiki kelemahan dia.
Dalam arahan program ini, pelajar akan mengikuti langkah-langkah tertentu dalam pembelajaran dia, langkah tersebut akan diteruskan asalkan pelajar dapat memberi jawapan yang sesuai dan boleh diterima. Namun sekiranya jawapan tersebut tidak memuaskan, dia akan dipandu kepada langkah terdahulu dan ditunjukkan bahan rujukan yang berkaitan bagi memperbaiki kelemahan tersebut. Pengajaran sedemikian biasanya tidak dijalankan di dalam kelas yang terdiri daripada ramai pelajar, tambahan pula pelajar Asia yang kurang bertanya akan memburukkan lagi proses pembelajaran pelajar.
Selain itu, pendidikan jarak jauh dibolehkan dengan wujudnya rangkaian pendidikan yang lengkap. Tren semasa semakin menampakkan masa depan pengajaran dengan cara jarak jauh tetapi ini tidak bermakna pendidikan konvensional perlu dihapuskan sama sekali. Sesetengah daripadanya perlu dikekalkan bagi membolehkan pelajar membelajari kemahiran tertentu yang tidak boleh diperolehi melalui teknologi maklumat. Contohnya cara persembahan menggunakan komputer amat berbeza dengan cara konvensional. Namun kita tidak harus bergantung sepenuhnya kepada komputer dan melahirkan golongan yang tidak mampu berinteraksi tanpa komputer.
Justeru itu, sistem pendidikan perlu membekalkan kemahiran interaksi asas pada awal persekolahan dan menggunakan teknologi maklumat pada masa yang sama. Dengan itu, pelajar mempunyai kemahiran lebihan dan pilihan untuk menggunakan teknologi maklumat atau cara konvensional sesuai dengan keadaan tertentu.
Reformasi Sistem Persekolahan
Cara pengajaran konvensional di Amerika Syarikat misalnya memberi kuliah didapati tidak mendatangkan keputusan yang baik. Ini adalah kerana pelajar hanya duduk dan mendengar kuliah tersebut tanpa penyertaan yang menggalakkan. Ini merupakan senario yang kerap di dalam USM sendiri terutamanya dalam kuliah sarjana muda. Walaupun terdapatnya usaha pensyarah untuk menggalakkan penyertaan pelajar namun penyertaan yang diharapkan adalah amat kurang.
Namun dengan wujudnya rangkaian maklumat yang membolehkan pelajar memberi pandangan dan maklum balas secara rawak dan dengan cepat maka penyertaan tersebut akan mempunyai kadar yang lebih tinggi. Alasan seperti tidak dapat berjumpa dengan pensyarah akan dihapuskan sama sekali memandangkan faktor masa dalam rangkaian maklumat tidak sama dengan masa sebenar. Menurut teori pergerakan ruang, ruang aliran akan menentukan masyarakat rangkaian maklumat. Segala maklumat yang disalurkan merupakan penyebab yang secara kumulatif menjanakan ruang tersebut. Aktiviti menghantar dan menerima maklumat tersebut merupakan tindakan sosial yang dibawa dalam ruang aliran. Asalkan seseorang peka terhadap rangkaian tersebut, segala maklumat dan maklum balas akan dapat disampaikan mahupun diterima.
Perubatan
Membantu Golongan Yang Memerlukan Bantuan Khas
10 daripada 100 orang adalah cacat. Di Amerika Syarikat, 20 juta orang cacat mengalami halangan dalam kehidupan harian mereka(Meyer, 1999). Bagi golongan ini, teknologi maklumat terutamanya komputer memainkan peranan yang penting dalam memberi kebebasan kepada mereka. Contohnya kewujudan program yang berupaya membaca teks dapat membantu orang buta berkomunikasi tanpa bantuan keluarga, rakan-rakan dan pekerja lain atau mesin rekod suara.
Selain itu, komputer juga memberi peluang sosial baru kepada orang cacat melalui penggunaan internet, irc serta icq dan lain-lain program. Mereka tidak perlu pergi ke kawasan bandar untuk bertemu atau berkenalan. Mereka juga tidak perlu melalui pengalaman pahit di dalam bandar yang tidak direka untuk mereka. Di samping itu, terdapat rangkaian yang dikhaskan untuk mereka berkenalan dan bergaul dengan golongan yang sama di mana sebelum ini tiada seluran yang begini mudah. Mesyuarat boleh dijalankan bila-bila masa asalkan seseorang mempunyai talian telefon, komputer serta modem.
Tele-Perubatan
Dalam keadaan tertentu, pesakit sebenarnya tidak perlu berjumpa dengan doktor. Ini adalah kerana dalam kebanyakan kes, doktor cuma memeriksa pesakit melalui sintom yang diberitahu oleh pesakit sendiri. Justeru itu, suatu program yang menyeluruh dan sentiasa diperbaiki adalah memadai untuk menggantikan tugas sedemikian. Britain telah menggunakan sistem sedemikian untuk mengurangkan beban doktor(Laver, 1989). Doktor seharusnya menumpukan perhatian dalam kes yang serius yang mana pesakit tidak dapat memeriksa sebarang sintom.
Namun kesahihan sistem sedemikian akan sentiasa dipertikaikan akibat faktor-faktor keselamatan, kepercayaan, psikologi dan sebagainya. Selain itu, kos pelaksanaan sistem sedemikian juga amat tinggi kerana ia perlu sentiasa dinaik taraf dan dinilai bagi memberikan tahap ketepatan dan kepercayaan yang tinggi. Di samping itu, pelaksanaan sistem sedemikian akan menggugat kesenangan golongan buta huruf untuk mendapatkan rawatan biasa memandangkan sistem tersebut cenderung mengurangkan atau menggantikan peranan klinik. Justeru itu, timbul pendapat bahawa ia hanya sesuai untuk tujuan farmasi sahaja di mana pesakit telah diberikan diskripsi ubat; dan menggunakan tele-perubatan cuma untuk mendapatkan ubat tersebut.
Walau bagaimanapun, penggunaan Smart Card akan melengkapkan lagi sistem tersebut memandangkan kesemua maklumat peribadi pesakit termasuk sejarah perubatan telah dikodkan. Namun kita tidak harus melihat bidang perubatan ditukarkan kepada sejenis industri. Perubatan sebagai perindustrian akan mencetuskan kesan mental yang buruk terhadap pesakit. Pesakit sebenarnya telah dibebankan dengan persekitaran hospital yang dipenuhi dengan pesakit-pesakit lain. Justeru itu, penggunaan teknologi yang keterlaluan akan menyebabkan hubungan doktor-pesakit hilang, ini akan menjanakan keadaan yang tidak menggalakkan dalam kes kesihatan yang serius.
Seni dan Hiburan
Digital
Dewasa ini, semakin banyak bahan-bahan ditukarkan kepada bit-bit dalam komputer. Penukaran ini akan mencetuskan perubahan yang besar dalam penggunaan ruang di bandar. Misalnya penduduk bandar tidak perlu berada di sesuatu lokasi tetapi dapat merasai situasi tersebut melalui internet. Kes yang sama berlaku terhadap perpustakaan, apabila lebih banyak teks ditukarkan dalam bentuk bit. Pelajar atau penduduk tidak perlu sampai ke perpustakaan untuk mendapatkan bahan rujukan tersebut.
Penduduk bandar juga tidak semestinya pergi ke panggung wayang atau muzium untuk melihat filem atau khazanah negara. Kesemua ini memberi impak terhadap perancangan guna tanah kawasan bandar. Kesan langsung daripadanya adalah pengurangan dalam isipadu lalulintas yang disebabkan oleh aktiviti tersebut. Ini akan mengagihkan tanah bagi tujuan yang lain misalnya kawasan hijau atau taman-taman yang tidak dapat digantikan oleh teknologi maklumat.
Namun harus diingati bahawa dengan menukarkan bahan-bahan kepada bit-bit. Masalah cetak rompak akan lagi berleluasa. Bahan-bahan yang didigitkan kemungkinan besar akan menjadi tidak berharga. Ini adalah kerana ia boleh disalin dan dikeluarkan semula berkali-kali, berbeza dengan bahan-bahan sebenar yang akan berkurangan kuantitinya apabila digunakan.
Tuesday, April 20, 2010
Wednesday, February 24, 2010
Subscribe to:
Posts (Atom)